Isnin, 6 September 2010

Siswa dinasihat hati-hati guna Facebook, PM mahu SKMM bertindak tegas

Kementerian Pengajian Tinggi menasihatkan mahasiswa supaya berhati-hati menggunakan laman sosial Facebook dan memastikan maklumat yang dikongsi tidak memudaratkan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana laman sosial itu kini boleh dilihat sebagai 'menelanjangkan' cerita peribadi seseorang.

Selain itu, kegilaan menggunakan laman sosial itu untuk berinteraksi di kalangan masyarakat sekarang juga boleh disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk menyamar sebagai individu tertentu, katanya kepada pemberita di Johor Bahru semalam.

PM mahu SKMM bertindak tegas

PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati memuatkan sebarang artikel atau kenyataan sensitif dan menghina agama di laman web atau laman sosial.

Perdana Menteri berkata, semua pihak di negara ini perlu sedar bahawa sebarang pengisian di laman web yang keterlaluan akan menyentuh perasaan pihak yang terlibat.

"Mereka (yang terbabit) patut sedar bahawa laman web ini bukanlah satu kebebasan mutlak yang membolehkan kita melakukan apa saja termasuk menghina agama atau peribadi orang lain.

"Kita mesti menggunakan alternatif media ini dengan rasa penuh tanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pihak yang tidak bertanggungjawab kebelakangan ini yang menyiarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina agama di laman web atau laman sosial seperti Facebook.

Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (Gempur) kelmarin membuat laporan polis berhubung satu akaun Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah dengan kata-kata kesat.

- KOSMO!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails