Rabu, 22 September 2010

ETP belanja RM1.4 trilion

PROGRAM Transformasi Ekonomi (ETP) yang akan dilancarkan tidak lama lagi bakal menyediakan 131 projek permulaan dan 60 peluang perniagaan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan serta pembaharuan ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, projek permulaan dan peluang perniagaan itu merentasi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) membabitkan sektor Minyak, Gas dan Tenaga; Minyak Sawit, Perkhidmatan Kewangan, Pelancongan, Perkhidmatan Perniagaan, Elektrikal dan Elektronik; Pemborongan dan Peruncitan; Pendidikan, Kesihatan, Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur; Pertanian serta Greater Kuala Lumpur


Beliau yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, inisiatif di bawah 12 NKEA itu dijangka mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan 63 peratus daripadanya membabitkan kategori pendapatan sederhana dan tinggi merangkumi 43 peratus daripada jumlah pasaran buruh ketika ini.


“Pada dasarnya, ETP ialah hala tuju ekonomi bagi Malaysia yang diwujudkan pihak swasta dan kerajaan. Ia akan dipacu sektor swasta membabitkan pelaburan merangkumi 92 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM1.4 trilion yang diperlukan dalam tempoh transformasi ekonomi ini, manakala kerajaan bertindak selaku penyedia peluang.


“Berdasarkan perbincangan menggalakkan mengenai peluang pelaburan dalam tempoh dua bulan ketika berlangsungnya makmal NKEA, kami yakin mampu menarik pelaburan swasta dalam projek permulaan ini,” katanya pada Hari Terbuka ETP di Kuala Lumpur, semalam.


Idris berkata, ETP mensasarkan pertumbuhan pendapatan negara kasar (GNI) hampir tiga kali ganda daripada RM660 bilion pada 2009 kepada RM1.7 trilion menjelang 2020.


“ETP memakan masa lama iaitu sembilan tahun dan kerana itu, pelaburan swasta akan terus diterima sepanjang tempoh pelaksanaannya. Program transformasi ekonomi ini bermula dengan baik apabila pihak swasta menyatakan komitmen tinggi untuk membuat pelaburan. Saya tidak fikir sektor swasta sanggup mengeluarkan pelaburan jika tidak yakin dengan program ini,” katanya.


-Metro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails