Selasa, 7 September 2010

Ancaman kuman super



Kuman super yang dikatakan kebal terhadap pelbagai jenis antibiotik kini merebak di beberapa buah negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat, Kanada dan Belanda.

Para saintis dalam jurnal Lancet Infectious Diseases, mengatakan, kuman super yang merupakan enzim dipanggil New Delhi-Metallo-1 (NDM-1) itu mampu merebak ke seluruh dunia kerana belum ada penawar dicipta untuk menanganinya.

Secara amnya, ia ditemui baru-baru ini di kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan seperti pembedahan plastik, kanser dan pemindahan organ di Asia.

Ia ditemui oleh sepasukan pakar di Britain, India, Pakistan dan Bangladesh.

Kuman daripada keluarga Enterobacteriaceae itu bercantum dengan bakteria Escherichia coli (E. coli), C. diff dan Salmonella sebelum menyerang saluran pernafasan

Bergabung

Enzim terbabit dikatakan boleh berpindah dengan mudah di antara bakteria.

Lebih membimbangkan ia akan bergabung dengan penyakit-penyakit berbahaya dan membuatkannya kebal terhadap antibiotik.

Seorang pakar, Profesor David Livermore yang merupakan penulis bersama satu penyelidikan dengan Profesor Timothy Walsh dari Universiti Cardiff, Wales memberitahu, masalah NDM-1 dijangka menjadi lebih buruk.

“Potensi ia merebak serta menjadi penyakit di seluruh dunia adalah jelas dan menakutkan,” katanya.

Lebih membimbangkan kini hanya ada dua jenis antibiotik yang boleh menentang NDM-1 tetapi ia juga mungkin tidak mampu bertahan lama.

NDM-1 yang dikatakan kalis terhadap semua jenis ubat termasuk antibiotik terbaru paling kuat, Carbapenems.

Mengulas isu ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican memberitahu, NDM-1 memberi lebih ketahanan kepada bakteria menentang antibiotik termasuk antibiotik kuat jenis carbapenem yang digunakan untuk membunuh superbug (kuman super) selama ini.

“Negara juga telah mencatatkan beberapa kes kuman super daripada spesies E. coli dan Klebsiella pneumoniae (K. pneumoniae) dengan ketahanan terhadap carbapenem.

“Namun, ia cuma merangkumi 0.2 peratus daripada jumlah kes jangkitan di seluruh negara,” katanya.

Ujarnya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan gen NDM-1 dalam kes jangkitan bakteria melalui makmal mikrobiologi di semua hospital dan diketuai Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Kemampuan gen NDM-1 melompat antara spesies bakteria usus juga membimbangkan dengan tiga spesies telah dikenal pasti mampu membawa gen tersebut iaitu E. coli, K. pneumoniae dan spesies Salmonella.

“Evolusi gen baru ini dikaitkan dengan salah guna atau terlebih guna antibiotik terutama jenis spektrum lebar yang digunakan untuk merawat jangkitan pelbagai jenis bakteria,” katanya.

Steril

Mohd. Ismail menambah, pihak Kementerian Kesihatan mengingatkan semua doktor dan kakitangan kesihatan supaya memainkan peranan masing-masing dan mematuhi garis panduan pemberian antibiotik kepada pesakit.

“Buat masa ini, kita masih mempunyai pilihan jika antibiotik kumpulan carbapenem gagal merawat jangkitan di unit rawatan rapi (ICU) iaitu dengan menggunakan antibiotik khas jenis colistin dan tigecycline,” jelasnya.

Seorang pakar bakteriologi, Datuk Dr. Lim Thuang Seng memberitahu, sejarah perubatan menunjukkan beberapa jenis kuman super yang dikesan sebelum ini telah merebak dari hospital.

“Oleh itu, adalah amat penting supaya hospital di negara ini menjalankan proses steril mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan kuman super.

“Selain itu, kunjungan secara beramai-ramai ke hospital adalah tidak digalakkan kerana persekitarannya yang penuh dengan pelbagai jenis kuman,” katanya.

- My Adha

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails