Makmal Komputer Tun Sri Lanang, SMK Sultan Alauddin, Kulaijaya, Johor
Jumaat, 8 Oktober 2010
Beli buku melalui Internet
Pada peringkat pengenalan zaman komputer dahulu, ia hanya digunakan untuk menyimpan maklumat, namun hari ini seseorang boleh menguruskan segala urusan harian secara maya dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Perkembangan pantas dunia ICT membolehkan segala maklumat di Internet diakses dengan mudah tanpa mengira sempadan dan masa.
Lebih-lebih lagi dengan kemunculan beberapa media baru seperti laman web, blog, Facebook, Twitter dan Youtube menjadikan peranannya bukan sahaja sebagai agen sosial tetapi menjana keuntungan tanpa disedari.
Lihat sahaja keberkesanan urusan penjualan tiket penerbangan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat penerbangan secara dalam talian (online). Ia ternyata memberi manfaat kepada kepada perniagaan tersebut dan pengguna.
Tidak terkecuali bagi Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UPND). Selaku penerbit dan pengedar buku terulung di negara ini, syarikat itu tidak mahu ketinggalan merebut peluang dalam kaedah pemasaran secara talian sejak ia dimulakan kira-kira tujuh tahun lalu.
Pengarah Esekutif UPND Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar berkata, ia merupakan salah satu strategi syarikat itu dalam memasarkan produk-produk keluarannya terus kepada pengguna.
Menurut Ahmad Hairi, sistem pemasaran sedia ada memerlukan pengguna mengunjungi kedai-kedai buku, pesta buku atau jualan gudang semata-mata mahu mencari atau membeli buku yang diminati.
“Namun melalui sistem talian, pembelian tersebut boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam dan tujuh hari seminggu. Kemudahan ini secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan harian pengguna terutama yang tinggal di luar-luar bandar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, pengguna yang ingin membuat tempahan secara talian boleh mengakses laman web www.mybooks.com.my.
Ketika ini terdapat lebih 2,000 judul buku-buku yang diterbitkan oleh UPND sejak tahun 1976 sehingga kini. Setiap buku mempunyai sinopsis ringkas mengenai tajuk, tarikh penerbitan dan harganya.
“Pengguna boleh membuat pembayaran perbankan secara talian melalui beberapa bank utama, auto debit, wang pos, kad kredit dan kad pintar UPAY yang disediakan khusus untuk pelatih-pelatih Program Khidmat Latihan Negara (PKLN).
“Di samping laman web yang disediakan, pengguna juga boleh membuat pembelian jika mengakses laman web megastore.airasia.com. Pada masa akan datang kami merancang untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat penjualan buku terkemuka seperti MPH dalam memasarkan produk keluaran UPND,” jelasnya.
Beliau berkata, pengguna yang membeli secara talian perlu mendaftar terlebih dahulu sebagai rekod bagi memudahkan transaksi pada masa hadapan.
Menariknya melalui sistem berkenaan, pengguna berpeluang mendapat diskaun sebanyak sepuluh peratus daripada harga biasa di samping pelbagai diskaun menarik pada judul-judul tertentu.
Berdasarkan polisi yang ditetapkan, penghantaran akan dilakukan sebaik sahaja pembayaran diterima dan lazimnya mengambil masa tiga hari waktu bekerja.
“Kami mengutamakan kepuasan pengguna, selain berpeluang mengetahui hebahan aktiviti jualan UPND, mereka juga boleh menghantar komen dan sebagainya,” katanya yang berpuas hati dengan sambutan dan peningkatan jualan melalui sistem berkenaan dari setahun ke setahun.
Dalam waktu terdekat ini, Ahmad Hairi memberitahu, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan penjualan buku secara e-Book yang menjadi trend pada masa kini.
“Bagaimanapun ia masih di peringkat kajian. Namun jika dilaksanakan kelak ia akan memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan bahan bacaan,” katanya.
- KOSMO!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan