Isnin, 23 Ogos 2010

Kesilapan dalam Ramadan

Oleh Ustaz Zaharuddin

Pada hemat saya, kita boleh mengatakan objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim pada Ramadan berdasarkan dua perkara iaitu takwa dan keampunan daripada Allah SWT.

Namun kemampuan mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadan seseorang kerap tergugat akibat kekurangan ilmu dan kurangnya keprihatinan umat Islam pada masa kini.

Bagaimana ini berlaku? Antara contoh paling mudah adalah seperti berikut: 1. Soal makan dan minum seseorang itu apabila dia dengan sengaja membatalkan puasanya tanpa sebab yang diterima dalam Islam

Perlu diketahui, sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja bukan di atas faktor keuzuran seperti mengeluarkan mani dengan sengaja, merokok dan makan serta minum, dia dilarang untuk terus bebas melakukan perkara lain seperti makan atau minum dan perkara lain yang dikira boleh membatalkan puasa. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi) Ini sebagaimana dinyatakan hadis riwayat al-Bukhari bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang makan (batal puasa), hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu.

2. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.

Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang daripada mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan Rasulullah SAW, malah bercanggah dengan sunnah baginda.

‘Sahur’ itu sendiri daripada sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam dan ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma’bud, 6/469) Imam Ibn Hajar menegaskan, melewatkan sahur mampu mencapai objektif yang diletakkan Rasulullah SAW. (Fath al-Bari, 4/138) 3. Bersahur dengan hanya makan dan minum tanpa melakukan ibadat lain.

Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu berkenaan pada hakikatnya antara waktu terbaik untuk beristighfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya: “Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar.” (Az-Zariyyat, 18) Ertinya: “Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah: “Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT)?” Jawab Nabi: “Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardu.” (At-Tirmidzi,Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan; Lihat Al-Muntaqa, 1/477) 4. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia satu kesilapan yang maha besar.

Memang benar, solat bukan syarat sah puasa tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, sengaja ‘ponteng’ solat menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering’.

5. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Tarawih.

Ini jelas satu ‘kekosongan’ yang ada dalam masyarakat tatkala berpuasa. Ramai lupa dan tidak tahu kelebihan besar semua solat fardu berbanding solat sunat, terutama solat Subuh berjemaah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW bagi orang yang mendirikan secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6. Menunaikan solat Tarawih di masjid dengan niat inginkan meriah.

Malang bagi mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat. Jika niat utama seseorang itu (sama ada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk memeriahkannya dan bukan atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran serta keredaan Allah SWT sebagaimana ditetapkan oleh Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat.” (Riwayat al-Bukhari) 7. Malas dan tidak produktif dalam kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pasti menambah lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperbanyakkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya pada Ramadan.

8. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.

Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan, hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah sangat lemah. (al-Jami’ as-Soghir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291) 9. Menganggap waktu Imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur.

Ini kerana waktu Imsak sebenarnya hanya ‘lampu amaran oren’ yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur hampir tamat.

Ia bukan waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran saja. Lalu, jangan ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk Imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.

Waktu yang disepakati ulama bagi waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278) 10. Wanita melakukan solat Tarawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

Ramai wanita walaupun siap bertelekung ke masjid tidak menyedari mereka mendedahkan aurat apabila kerap menaikkan kain sehingga menampakkan bahagian kaki ketika berjalan dan naik tangga masjid di depan jemaah lelaki.

Tatkala itu, fadilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi daripada mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11. Memasuki Ramadan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram.

Sama ada terbabit dengan pinjaman rumah, kad kredit, insurans, pelaburan dan kereta secara riba.

Ini tentu memberi kesan nyata kepada kualiti ibadat pada Ramadan kerana status orang terbabit dengan riba adalah sama seperti berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

Tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan tanpa syaitan ini bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Menyebut mengenai seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit dan berdoa: ‘Wahai Tuhanku... wahai Tuhanku...’ sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram... Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram, maka bagaimana Kami (Allah SWT) mahu memakbulkan doanya.” (Riwayat Muslim) Justeru, bagaimana Allah SWT mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insuransnya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram.

Benar, kita perlu berprasangka baik dengan Allah SWT, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri daripada riba yang haram adalah penipuan sebagaimana dinyatakan Imam Hasan Al-Basri.

12. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka ialah pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat At-Tirmizi) Selain itu doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadis bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak.” (Riwayat Ibn Majah) Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Namun dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadan.

Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia mencarik keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan bertakwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi) Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah.” (Riwayat Ibn Hibban)

- METRO AHAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails